Seorang peserta melintasi poster Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB pelawa penduduk Kuala Selangor sertai karnival kerjaya esok

SHAH ALAM, 29 OKT: Penduduk Kuala Selangor dan kawasan sekitar dipelawa menyertai Jelajah Selangor Bekerja 2021 bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) esok.

Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan di seluruh negeri.

“Inisiatif ini dianjurkan membantu mereka yang terkesan dengan pandemik dan bagi mengurangkan kadar pengangguran.

“Sebanyak 19 syarikat akan terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa,” katanya menerusi Facebook.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 mensasarkan graduan, penganggur dan individu kehilangan kerja menyertai program itu dengan mendaftar di laman sesawang http://www.selangorbekerja.com.my.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

30 Oktober: Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Bandar Baru Kuala Selangor
6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu
13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat
20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
27 November: Dewan Jubli Perak, SUK


Pengarang :