Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB: Pemergian Zolkples Embong kehilangan besar buat industri sukan

SHAH ALAM, 3 OKT: Dato’ Menteri Besar menyifatkan pemergian Datuk Seri Zolkples Embong sebagai satu kehilangan besar buat industri sukan tanah air.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu mempunyai semangat dan minat yang jitu dalam pembangunan belia dan sukan.

“Sewaktu memegang portfolio EXCO Sukan, saya telah banyak berurusan dengan Allahyarham yang sentiasa mengamalkan sikap kerjasama dan sifat profesionalisme tinggi,” tulisnya di Facebook.

Dalam hantaran sama, Amirudin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat Allahyarham.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan beliau ditempatkan dalam kalangan yang beriman,” katanya.

Allahyarham Zolkples yang berusia 62 tahun dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah, Ampang Jaya pagi tadi, namun punca kematian belum diketahui.

Untuk rekod, Allahyarham pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun sejak April 2007 hingga Disember 2014.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 2017.


Pengarang :