Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Serbaguna MPK, Pandamaran Jaya, Klang pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Sasar 10,000 remaja terima Vaksin Selangor

KLANG, 24 OKT: Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja bermula hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini lebih 3,000 individu berusia 12 hingga 17 tahun sudah dikenal pasti antaranya membabitkan pelajar maahad tahfiz dan mereka yang tidak lagi bersekolah.

Menurutnya, inisistif Kerajaan Negeri menjadi pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja untuk mempercepatkan imuniti kelompok golongan itu serta memberi perlindungan kepada golongan tercicir.

“Sambutan hari pertama program ini agak mengalakkan, sekiranya ini berterusan kita mungkin boleh dapat sekurang-kurangnya 10,000 remaja.

“Kita fokus remaja yang tidak dapat janji temu di bawah PICK Remaja,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang, Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :