Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja ketika Progam Vaksinasi Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sedia tawar vaksin negeri, percepat proses suntikan kepada remaja

GOMBAK, 2 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) sedia ditawar kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebagai langkah melindungi golongan itu daripada jangkitan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau atau EXCO akan membentangkan cadangan itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secepat mungkin .

“Ini berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan yang mana vaksin Sinovac boleh diberikan kepada remaja.

“Semoga pelan itu akan mempercepatkan proses vaksinasi golongan remaja dan mereka turut dilindungi daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pada program serahan Notis 5A kepada 19 penduduk Gombak serta sumbangan kewangan kepada 20 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu di Dewan Rakyat, Padang Awam Batu Caves, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Notis 5A kepada salah seorang penduduk DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat, Padang Awam Batu Caves pada 2 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut Amirudin berkata bagi tujuan itu pihaknya perlu merangka pelan baharu memandangkan sebelum ini baki pelalian Selvax dirancang untuk suntikan penggalak atau dos ketiga.

Sementara itu katanya pusingan kedua program Selvax bergerak akan diteruskan ke beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pelan rancangan melibatkan kos pentadbiran selesai.

“Kita dapat sambutan baik. Sasar 300 hingga 400 hadir (setiap DUN) tetapi cecah 600 individu membuktikan ramai yang perlukan vaksin. Kita baru habis antara 13 ke 15 DUN dan akan tambah lagi.

“Kita akan cuba merangkum sebanyak mungkin DUN atau tumpukan kawasan terpencil, yang penduduknya sukar untuk keluar (disuntik),” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 13 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Peringkat pertama melibatkan beberapa DUN antaranya Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Hulu Bernam, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :