Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kerja selenggaraan di Loji Rawatan Air Selangor SSP1, Bukit Badong, Kuala Selangor pada 13 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selenggara aset kritikal loji rawatan air siap sepenuhnya

KUALA SELANGOR, 13 OKT: Kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset kritikal loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 siap sepenuhnya pada jam 8.15 malam ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penaik tarafan sembilan aset utama yang selesai 2 jam 45 minit lebih awal itu berikutan persiapan rapi dijalankan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Saya gembira (naik taraf selesai) sebagaimana dirancang malah lebih awal daripada unjuran dibuat Air Selangor dengan mengambil kira senario kes lebih buruk kemungkinan berlaku kelewatan dan kebocoran,” katanya selepas meninjau loji terbabit malam ini.

Beliau turut memaklumkan kerja tambah baik di lokaliti hiliran melibatkan pam meter kolam simpanan dan imbangan mencapai 90 peratus.

“Ia sama ada mengikut jadual atau lebih awal dan sebahagian mengalami kelewatan akibat persekitaran,” katanya.

Hari ini, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji terbabit setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang esok, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com .

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com .


Pengarang :