Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar kenangan bersama ahli Penggerak Belia Selangor (PeBS) dari DUN Bandar Utama sempena majlis penyerahan watikah di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

MB serah watikah pelantikan kepada hampir 300 ahli, EXCO pergerakan belia

SHAH ALAM, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar menyampaikan watikah pelantikan kepada 280 ahli Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan 10 EXCO Jawatankuasa Induknya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PeBS adalah penjenamaan dan penyusunan semula daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang dilaksana sejak 2009.

“Penyerahan watikah ini merupakan tanda kepercayaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada pemimpin muda di Selangor dalam bersama menentukan hala tuju negeri ini.

“Saya berharap pemimpin PeBS dapat terlibat secara aktif dalam menjayakan program dan dasar yang dianjurkan Kerajaan Negeri seterusnya bersama menentukan corak masa depan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Amirudin menambah PeBS kini perlu memfokuskan kepada 10 teras berbanding enam teras sebelum ini iaitu meliputi pendidikan dan latihan; kemasyarakatan, jaringan dan kesukarelawan; kebudayaan dan kesenian serta belia dan kecergasan.

Selain itu, teras seterusnya adalah kepimpinan dan organisasi; kesejahteraan dan kesihatan; pengantarabangsaan; usahawan dan pekerjaan; teknologi maklumat dan komunikasi serta agama dan spiritual.

“Saya percaya dengan teras ini ia akan membawa kejayaan kepada setiap ahli PeBS…namun, apa yang penting adalah perbuatan, tindakan dan keputusan yang akan membawa makna pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, sebagai belia kita harus berani dan sentiasa berfikiran meluas, jika tidak kita hanya akan duduk setempat dan tidak kemana-mana…Saya harap ahli PeBS sentiasa berani dan semangat menjalankan tugas mengikut teras disediakan,” katanya.

Mereka yang menerima watikah pelantikan itu akan digerakkan ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membina hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Selangor dan belia di lapangan.


Pengarang :