Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 7 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Utama kesihatan mental, seru cakna keadaan orang keliling

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Negeri mengutamakan agenda kesedaran kesihatan mental dengan memperkenalkan inisiatif Selangor Mental Sihat (Sehat).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang terdapat di dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) antara usaha membantu warga Selangor menangani isu kesihatan mental.

“Usaha-usaha meningkatkan kesedaran dan literasi mengenai isu-isu sebegini wajar dirancakkan dalam kalangan komuniti bagi melahirkan masyarakat yang sihat serta harmoni.

“Setiap dari kita mempunyai peranan yang boleh dimainkan bagi memastikan kesihatan mental terpelihara. Cakna dengan keadaan orang sekeliling dan dapatkan bantuan segera,” katanya menerusi Facebook sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Beliau berkata Selangor melaksanakan agenda kesedaran mental sejak setahun lalu susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 1,080 kes percubaan membunuh diri.

“Statistik Polis Diraja Malaysia merekod 336 kes bunuh diri sehingga Mac dan statistik ini sangat menggusarkan,” katanya.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan Sehat dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

SEHAT  boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.


Pengarang :