Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyerahkan sumbangan makanan kepada Shamzul Ibrahim (tengah) serta wakil Kementerian Kesihatan Malaysia di pusat pemberian vaksin Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang pada 11 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF /SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBI sumbang RM16,000, taja makan petugas pusat vaksin remaja

KLANG, 11 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM16,000 untuk menaja makanan petugas pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi di sini, selama dua minggu.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ahmad Azri Zainal Nor berkata petugas PPV tersebut menerima 80 pek sarapan pagi dan makanan tengah hari pada setiap hari bermula hari ini.

“Sumbangan ini adalah pertama kali kepada PPV menjalankan program vaksinasi remaja di Selangor selepas menerima permohonan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melancarkan  Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

“Bantuan kecil ini sebagai tanda sokongan kepada petugas selain menjamin keselamatan pelajar apabila kembali ke sekolah,” katanya yang turut mengalu-alukan sekolah dijadikan PPV memohon bantuan sama.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan pek makanan bermasak kepada Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan Shamzul Ibrahim di sini hari ini.

Shamzul yang berterima kasih kepada MBI kerana meluluskan permohonan berkata sumbangan itu sedikit sebanyak menyuntik semangat 80 petugas untuk terus berkhidmat serta menjayakan PICK.

“Sejak dua minggu beroperasi, tiada bantuan seperti ini datang kecuali daripada beberapa wakil rakyat setempat. Jadi setiap hari kami terpaksa cari dana sendiri untuk beri makanan kepada petugas.

“Saya merakamkan penghargaan kepada MBI kerana memberi perhatian kepada kami di sini. Walaupun untuk dua minggu, Insya-Allah baki seminggu selepas itu kami akan berusaha mencari makanan sendiri,” katanya.

 


Pengarang :