Selangorkini
Kawasan sekitar Seksyen 13 yang dinaiki air selepas banjir kilat melanda Shah Alam pada 26 Sept 2021. Foto Facebook
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA peruntuk RM7 juta, inisiatif segera tangani banjir

SHAH ALAM, 8 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan RM7 juta sebagai langkah segera menangani masalah banjir dalam kawasan pentadbirannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata MBSA menerusi taklimat kelmarin memaklumkan peruntukan diguna bagi pembelian pam tambahan.

“Perbelanjaan dijangka mengurangkan masalah banjir atau banjir kilat terutama sekitar Seksyen 13, Seksyen 7 serta beberapa kawasan lain.

“Majlis (MBSA) ada beberapa lagi peruntukan untuk selesaikan masalah lain dan sedang dianggarkan,” katanya pada sidang media semalam.

Pada 26 September beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam antaranya Batu Tiga, Seksyen 4, Seksyen 10, Seksyen 13 dan Seksyen 25 dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Sementara itu Amirudin berkata sejumlah RM533 juta diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi 98 projek berkaitan perparitan mengatasi banjir negeri ini.

“Jabatan Perparitan dan Saliran telah menyiapkan 78 projek melibatkan RM425.23 juta sepanjang RMK-11,” katanya.


Pengarang :