Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun 70 peratus Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan diskaun kompaun sehingga 70 peratus sempena Hari MBSA dan Anda di Plaza Shah Alam di sini, Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata orang ramai boleh membuat pembayaran berkenaan mulai jam 11 pagi hingga 5 petang.

“Sepanjang bulan Oktober, MBSA melaksanakan kempen pengurangan kompaun RM10 bagi kompaun tempat letak kereta dan menawarkan pengurangan kompaun sehingga 70 peratus daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan untuk kompaun-kompaun terpilih,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata tujuan program Hari MBSA dan Anda sebagai platform kepada orang ramai khususnya warga Shah Alam untuk bertemu dengan pihak pengurusan MBSA bagi menyalurkan aduan dan permasalahan.

“Selain itu program ini juga merupakan komitmen berterusan pihak majlis untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian kepada komuniti setempat.

“Antara perkhidmatan yang disediakan semasa program ini adalah seperti penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik, menerima semakan aduan permohonan ubah suai premis dan sebagainya,” katanya.

Pada 30 September MBSA menawarkan diskaun sehingga 70 peratus daripada bayaran sebenar bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK).

Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata pengurangan itu ditawarkan sepanjang Oktober depan sempena sambutan ulang tahun Bandar Raya Shah Alam ke-21.


Pengarang :