BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ anjur acara larian secara maya Disember ini

SHAH ALAM, 27 OKT: Penduduk Subang Jaya dipelawa menyertai acara larian secara maya anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 1 hingga 25 Disember ini.

Datuk Bandarnya Noraini Roslan berkata terdapat dua kategori larian iaitu 21 kilometer (half marathon) dan 42 kilometer (marathon).

“MBSJ mengalu-alukan warga Subang Jaya menyertai larian maya itu sempena ulang tahun pertama bandar raya ini di samping mengamalkan gaya hidup sihat.

“Peserta bebas memilih lokasi dan laluan serta mereka perlu menghantar rekod larian lengkap secara dalam talian menggunakan aplikasi larian antaranya Garmin, Strava, Zwift, Nike+, RunKeeper,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2021 yang bersiaran secara langsung di Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya hari ini.

Menurut Noraini orang ramai yang berminat boleh mendaftar dan membuat bayaran sebanyak RM45 secara dalam talian bermula 20 November hingga 20 Disember.

Peserta akan menerima baju, medal dan hadiah cabutan bertuah yang akan dihantar terus ke kediaman mulai 31 Disember manakala e-sijil dan e-bingkai gambar pula dikirim menerusi emel masing-masing.


Pengarang :