Selangorkini
Noraini Roslan (tengah) memotong pulut kuning sebagai simbolik sambutan ulang tahun pertama Majlis Bandaraya Subang Jaya di Dewan Kenanga, Subang Jaya pada 20 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

MBSJ bantu hampir 30,000 keluarga susah sepanjang pandemik

SUBANG JAYA, 20 OKT: Seramai 28,457 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima makanan dan keperluan harian sumbangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak 2019.

Inisiatif dengan peruntukan lebih RM400,000 turut diperluas kepada golongan yang hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19 awal tahun lalu, kata Datuk Bandarnya.

“Majoriti penerima dari keluarga B40 selain kakitangan MBSJ yang berdepan masalah. Kita jangka bilangan penerima meningkat setiap bulan dan pastikan mereka disantuni,” kata Noraini Roslan.

Berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama MBSJ di sini hari ini, beliau berkata pihaknya mewujudkan tabung amal sejak 2019 bagi membantu kumpulan memerlukan.

Tabung yang mengumpul sebanyak RM147,986.35 hasil kutipan derma daripada kakitangan menumpukan aspek pendidikan, infrastruktur dan pembangunan modal insan, jelasnya.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM90,716.20 digunakan bagi membiayai yuran pengajian dan pembelian komputer riba untuk pelajar dari keluarga kurang mampu.

“Kita mahu mereka berupaya dari aspek sosial, ekonomi, kesihatan, keselamatan dan pendidikan bersesuaian dengan cabaran ketika ini,” kata Noraini lagi.


Pengarang :