Petugas kesihatan, memberi kaunseling sebelum penerima bersetuju bagi mengambil suntikan pelalian Covid – 19 ketika Program vaksinasi khas guru kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: 2,753 guru enggan divaksin, beri konsultasi berterusan

SHAH ALAM, 21 OKT: Seramai 2,753 guru menolak untuk menerima vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut menteri pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 1,993 guru memberi alasan tidak percaya pelalian itu, isu menyentuh agama, pasangan tidak membenarkan pengambilan vaksin serta masih belum bersedia.

Katanya jumlah selebihnya iaitu 760 guru lagi menolak kerana mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kronik, mengalami alahan, mengandung atau menyusukan anak, merancang kehamilan dan bekas pesakit Covid-19.

“Bagi meningkatkan kadar vaksinasi guru yang enggan divaksin disebabkan selain masalah kesihatan atau alasan tidak munasabah, kementerian melalui pentadbir sekolah secara berterusan mengadakan konsultasi untuk memastikan mereka mengambil vaksin.

“Guru yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang sudah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan kepada ketua jabatan masing-masing,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau setakat semalam seramai 399,972 orang atau 96.83 peratus guru sudah lengkap divaksin.

“Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh kementerian, guru yang lengkap divaksin sahaja dibenar melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

“Bagi guru yang belum lengkap atau tidak divaksin, mereka dikehendaki melaksanakan PdPR dan tugasan lain yang diarahkan oleh pihak sekolah.

“Mereka juga diwajibkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka semasa berada di kawasan sekolah,” katanya.


Pengarang :