Nor Liela Zaharah Ngabiah bersama produk ikan pekasam yang diusahakannya sejak 2015 selain perniagaan telur masin. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Menyeluk laba pekasam, bekas guru bangkit selepas rugi

SHAH ALAM, 23 OKT: Peluh membasahi liang-liang kulit Nor Liela Zaharah Ngabiah. Bajunya lencun, nafasnya tercungap. Namun, wanita berumur 36 tahun itu terus menggemburkan tanah dan menyemai benih tanaman.

Ada enam ekar yang perlu diusahakannya. Falsafah berbudi pada tanah tersemat kukuh dalam minda bekas guru itu. Baginya, pertanian adalah segala-galanya biarpun terpaksa berpanas, berhujan. Bukan lagi di bilik pendingin hawa.

Beliau lazimnya membanting tulang dari pagi hingga tengah hari. Tiba masa membaja, Nor Liela Zaharah mengerah kudrat memikul guni baja. Walau penat, tidak sedikit pun melunturkan semangat ibu empat anak itu. Suami Saidin Sabran, 52, turut membantu.

Wanita itu juga mengusahakan ternakan ikan keli, puyu dan tilapia kolam. Lali berendam dalam kolam untuk mengred benih ikan. Ada masanya, beliau sendirian memandu jauh ke luar Selangor menghantar benih ikan kepada pelanggan.

Sebagai usahawan tani, beliau mengerti ada masanya kerugian tidak dapat dielak. Lebih-lebih lagi ketika wabak Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu.

Hasil tanaman sayur tidak dapat dijual. Sebahagiannya terbiar busuk. Kerugian dianggar lebih RM20,000. Jualan keli salainya turut terjejas angkara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masa mula PKP, lima kolam keli sudah boleh dituai tetapi permintaan hilang mendadak. Ada yang buat tempahan tetapi batalkan sebab tidak boleh adakan majlis.

“Lima kolam tidak dapat dipasarkan. Setiap kolam lebih kurang setengah tan ikan keli dengan nilai lebih RM3,000 bermakna saya kehilangan paling kurang RM15,000,” katanya kepada Selangorkini di Kampung Seri Keledang, Hulu Bernam baru-baru ini.

Dalam talian

Kelewatan tuaian menyebabkan saiz ternakannya sukar dijual. Justeru, beliau sedekahkan ikan itu kepada penduduk kampung.

Hasil cadangan rakan, Nor Liela Zaharah cuba menternak ikan puyu untuk dijadikan pekasam. Cadangnya mahu dijual dalam pasaran dalam talian, kedai makan dan pasar.

Nor Liela Zaharah Ngabiah meninjau kolam ternakan ikan puyu untuk dijadikan pekasam di Kampung Seri Keledang, Hulu Bernam baru-baru ini. Foto SELANGORKINI

Kali ini usahanya berhasil. Tidak seperti keli salai, puyu pekasam lebih tahan lama dan tidak rosak ketika proses penghantaran.

Nor Liela Zaharah mula menjadi usahawan pada 2010. Beliau tekad berhenti kerja walau bergaji bulanan. Terasa sia-sia jika tanahnya seluas enam ekar tidak diusahakan.

Berbekal tunjuk ajar suami dan bimbingan jabatan pertanian, beliau mengusahakan pelbagai tanaman. Pelbagai kursus dihadirinya untuk menambah pengetahuan.

Pendapatan kasarnya agak lumayan. Sekali tuai mencecah RM20,000. Kalau sayur, boleh dituai dua kali setahun. Tanaman pisang bergantung kepada jenis. Kalau pisang emas, empat bulan boleh dituai. Pisang tanduk lebih lama sedikit, antara lapan hingga setahun untuk mengeluarkan hasil.

Kendali jengkaut

Pada 2015, Nor Liela Zaharah membeli jentera. Mula-mula pembajak, kemudian jengkaut. Sejak itu, beliau tidak mencangkul lagi. Bahkan jentera itu dikendalikannya sendiri. Mula-mulanya kekok, lama kelamaan seronok.

Tiga tahun kemudian, beliau dengan modal RM5,000 menternak ikan keli untuk dijadikan keli salai dan dijual.

Bermula sebuah rumah salai, permintaan meningkat menyebabkan usahawan itu menambah dua rumah lagi. Setiap satu mampu menyalai 200 ekor sekali gus.

“Bagi mendapat hasil terbaik proses menyalai memakan masa yang panjang sekurang-kurangnya 12 jam.

“Ikan keli salai kami ada aroma yang istimewa dengan menggunakan kayu pokok rambutan selain tempurung kelapa sebagai bahan bakar utama untuk menyalai,” katanya.

Nor Liela Zaharah juga membuat pinjaman skim Hijrah Selangor sebanyak RM5,000 pada awal 2020.

“Pada asalnya saya buat pinjaman Hijrah Selangor untuk projek kebun sayur tetapi disebabkan projek tanaman sayur bermasalah saya gunakan pinjaman ini untuk bina kolam keli, puyu dan tilapia,” katanya.

Perusahaan keli salai itu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung. Lapan orang bekerja dengannya. Beliau juga memenuhi permintaan benih keli kepada pengusaha ternakan hingga ke luar Selangor.

Hasil keli dituai setahun tiga kali dengan setiap satu mampu memberi pulangan kira-kira RM15,000.

Kerugian ketika pandemik banyak mengajarnya. Justeru, beliau mahu mempelbagaikan cabang perniagaan.

Selain keli salai dan puyu pekasam, beliau menternak itik dan arnab. Sebanyak 110 itik dipeliharanya bagi mendapatkan telur untuk dijadikan telur masin. Arnab pula cuma menunggu reban siap. Pada masa ini, kerja membina lima lagi kolam ikan, reban itik dan arnab giat dijalankan.

Nor Liela Zaharah juga memasang impian untuk membuka kilang produk asas tani di tanahnya pada masa depan.

 


Pengarang :