Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan SMK Dato’ Hamzah di Klang turut menerima sumbangan bantal pada 20 Okt 2021. Foto MPK
PBTSELANGOR

MPK buka satu pusat pemindahan banjir, tempatkan 19 individu

KLANG, 21 OKT: Sebuah pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hamzah, Klang dibuka susulan banjir kilat akibat hujan lebat petang semalam.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin berkata seramai 19 individu daripada empat keluarga dipindahkan dan semua dijangka pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

“Kita memilih sekolah sebagai pusat pemindahan kerana mudah buat pengasingan untuk elak jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu Elya Marini berkata pihaknya kini sedang dalam proses reka bentuk tebatan banjir di kawasan panas untuk jangka masa panjang.

“Antara kawasannya di Berkeley, Jalan Teratai, Bayu Perdana dan Taman Intan. Pasukan khas MPK sentiasa bersedia sekiranya berlaku kejadian banjir kilat,” katanya.

Semalam sebanyak 15 rumah di Jalan Mohd Yamin, Klang dinaiki air susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat.

Selain itu, dalam kejadian banjir kilat di Persiaran Bukit Raja 2 di sini sebanyak lima kenderaan terkandas di jalan raya.


Pengarang :