Selangorkini
PBT SELANGOR

MPK terima 200 permohonan sijil layak duduki bangunan

KLANG, 22 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima 200 permohonan Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CCC) daripada pemilik kilang sejak Mac lalu.

Timbalan Yang Dipertua Elya Marini Darmin berkata permohonan sijil itu berdasarkan garis panduan Perancangan Penginapan Pekerja Jangka Pendek (TLQ) dan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ).

“Jumlah ini menunjukkan majikan mempunyai inisiatif untuk menjadikan asrama pekerja lebih kondusif dan selesa.

“Malah statistik ini juga bukti majikan sudah mula ada kesedaran untuk menjaga kebajikan pekerja masing-masing terutama melibatkan pekerja asing,” katanya pada operasi di kilang perabot di Jalan Korporat Taman Perindustrian Meru di sini semalam.

Elya Marini turut mengingatkan majikan yang mengupah ejen menguruskan penginapan majikan supaya mereka mengaplikasikannya dalam pengurusan pekerja.

“Kegagalan majikan mengikut garis panduan berdepan tindakan sekatan pemberian lesen jika pematuhan syarat asrama tidak dipatuhi.

“Majikan yang inginkan maklumat atau garis panduan boleh layari laman sesawang MPK atau hadir ke Jabatan Perancang yang akan beri nasihat sewajarnya,” katanya.

Garis panduan TLQ dan CLQ diasaskan daripada dua garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Mac dan Julai.

Kedua-dua garis panduan ini digabung dan digarap untuk disesuaikan penggunaan di bawah kawasan MPK sejak dua bulan lalu.


Pengarang :