Yang Dipertua Majilis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain (dua, kanan) bersama Ahli Majlis MPKj Zon 20 Muhammad Hanafi Jalalludin (tiga, kanan) meninjau tapak pameran ketika Program Semenyih Prihatin Sungai 2021 di Pekan Semenyih, Hulu Langat pada 3 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPKj pantau sungai elak jadi tong sampah masyarakat

HULU LANGAT, 4 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama sukarelawan Sahabat Sungai memantau kerap sungai Pekan Semenyih bagi memastikan tidak tercemar.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata pihaknya kecewa dengan sikap masyarakat yang seolah merancang untuk membuang bahan buangan itu sehingga menjadi punca pencemaran terhadap sungai.

“Berdasarkan pemantauan kita dapati ada sampah terikat elok dalam plastik dibuang ke sungai…ini bermakna mentaliti masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar masih kurang, mereka anggap kawasan itu tong sampah.

“Oleh itu, kita bersama Sahabat Sungai akan terus melaksana aktiviti pembersihan, memantau dan memberi kesedaran kepada penduduk setempat agar menjaga kebersihan sungai daripada tercemar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini semalam.

Menurut Najmuddin, perbuatan membuang sampah ke dalam sungai juga menjadi punca henti tugas loji rawatan air sehingga menyebabkan ketiadaan bekalan air.

“Saya harap masyarakat mulai sedar dan tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya perlu bekerjasama menjaga kebersihan kawasan persekitaran termasuk sungai,” katanya.


Pengarang :