PBTSELANGOR

MPKj sita 10 lori buang sampah haram sepanjang Oktober

SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 10 lori kerana terbabit dalam aktiviti membuang sampah secara haram di daerah itu sepanjang Oktober, tertinggi berbanding bulan lalu.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan.

“Empat lori disita di Jalan Kuari Sungai Long manakala Taman Pusara Twin Palms dan Bukit Ampang masing-masing dua lori, Kampung Simpang Balak serta lain-lain kawasan (satu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan di Bilik Mesyuarat Utama Menara MPKj pada Selasa.

Menurutnya, sebanyak 17 kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan mencemarkan alam sekitar mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007.

Sementara itu, Najmuddin berkata operasi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tersebut demi menjamin kualiti hidup masyarakat.

Pihak berkuasa tempatan itu menyita 51 lori atas kesalahan berkenaan sejak operasi gempur dijalankan awal tahun ini.


Pengarang :