Yang Dipertua Majilis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain (tengah) bersama Ahli Majlis MPKj Zon 20 Muhammad Hanafi Jalalludin (kiri) meninjau parit di Sungai Semenyih ketika Program Semenyih Prihatin Sungai 2021 di Pekan Semenyih, Hulu Langat pada 3 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKj terus pantau SOP, elak masyarakat alpa

HULU LANGAT, 4 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama polis meneruskan operasi tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan orang awam meskipun Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata pemantauan itu akan dilakukan di sekitar kawasan tumpuan ramai seperti pasar raya, pasar awam, pasar pagi dan kawasan rekreasi.

“Kita masih meneruskan operasi pemantauan kerana tidak mahu kejadian sama berulang seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu dan dua sebelum ini dengan kes jangkitan Covid-19 tinggi kerana masyarakat gagal mematuhi SOP.

“Kita harus memastikan masyarakat maklum virus wabak masih ada dan jangan sesekali lalai,” katanya ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini semalam.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga PPN berkuat kuasa pada Jumaat dengan beberapa kelonggaran tambahan untuk individu lengkap dos vaksin.

Kebenaran baharu termasuk majlis rasmi kerajaan dan swasta, pembukaan semula sektor latihan kemahiran serta kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi.


Pengarang :