Sukarelawan Team Selangor menganjurkan Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis, Kuala Selangor pada 3 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPKS: Sampah di Pantai Remis meningkat tiga kali ganda

KUALA SELANGOR, 5 OKT: Jumlah sampah di Pantai Remis di sini meningkat tiga kali ganda selepas kehadiran pengunjung terutama pada hari minggu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat berkata peningkatan itu menyebabkan pihaknya perlu menjalankan kutipan setiap sejam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat

“Saya mengharapkan pengunjung mempunyai kesedaran sivik… ada tong sampah pun mereka masih membuang sampah di merata tempat.

“Secara kebiasaannya kita kutip 100 kilogram (kg) tetapi sekarang ini jumlahnya sudah lebih hingga ke tiga kali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han yang mengadakan lawatan kerja di daerah ini hari ini.

Rahilah berkata pihaknya menerusi bahagian penguat kuasa mengadakan pemantauan berkala di kawasan berkenaan susulan kehadiran ribuan pengunjung.

“Kita sentiasa membuat rondaan untuk melihat pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) di Pantai Remis. Setakat ini memuaskan dan jika yang ingkar kita akan kenakan kompaun,” katanya.

Pada 3 Oktober, penyampai radio popular Fara Fauzana menyertai program mengutip sampah sepanjang 500 meter di persisir Pantai Remis anjuran Team Selangor.

Fara, 39, berkata beliau secara sukarela menyertai aktiviti berkenaan memandangkan manfaatnya yang besar kepada alam sekitar.


Pengarang :