Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) Datuk SM Muthu. Foto Facebook Abu Fateh View
AGENDA NASIONAL

Muthu dakwa masih presiden Persatuan Olahraga Selangor

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Kemelut kepimpinan dalam Persatuan Olahraga Selangor (POS) terus “hangat” apabila Datuk SM Muthu semalam mendakwa beliau masih presiden persatuan itu yang sah.

Malah, Muthu yang juga presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mendakwa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) POS kelmarin yang menyingkirkan beliau daripada jawatan presiden POS dan menarik balik keahlian seumur hidupnya atas dakwaan berlakunya penyelewengan dana sebanyak RM110,000, adalah tidak sah.

Muthu mendakwa EGM itu juga tidak sah kerana dihadiri oleh individu bukan ahli serta Perlembagaan POS tidak membenarkan penyingkiran mana-mana pemegang jawatan melalui EGM.

“Dakwaan yang saya kononnya menyeleweng dana POS adalah fitnah, satu percubaan yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk memburukkan nama saya. Setahu saya, wang itu berada dalam akaun bank POS.

Usaha ini dibuat bagi menghalang saya mempertahankan jawatan pada pemilihan ketika Mesyuarat Agung Tahunan POS pada 7 Nov ini,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini petang semalam.

Menurut laporan media semalam, EGM POS yang dihadiri 39 ahli secara sebulat suara menyingkirkan Muthu daripada jawatan Presiden POS dan menarik balik keahlian seumur hidupnya atas dakwaan berlakunya penyelewengan dana persatuan, serta mahu membuat laporan kepada polis dan Pesuruhjaya Sukan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof diketika dihubungi berkata beliau masih belum menerima apa-apa laporan daripada kedua-dua pihak, manakala kesahihan EGM juga belum disahkan.

“Kita perlu semak dan teliti proses EGM dibuat sama ada ikut perlembagaan atau tidak. Dalam Perlembagaan POS, hanya pemilihan sahaja tidak boleh dibuat (dalam EGM), yang lain-lain tidak disebut.

Menurut Fasal 13 Perlembagaan POS, surat tunjuk sebab perlu dikemukakan sebelum pemecatan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib. Sama ada tindakan ini (penyingkiran) teratur atau tidak, kita perlu semak dan teliti perlembagaan POS,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :