Kakitangan Air Selangor menjalankan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021 . Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Naik taraf aset kritikal loji rawatan siap 40.4 peratus

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 berada pada tahap 40.4 peratus setakat jam 11 pagi tadi.

Kerja itu dijangka siap jam 11 malam ini, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menerusi Facebook.

“Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) sedang giat dilaksanakan.

“Sehingga jam 11 pagi ini, peratusan kerja adalah pada tahap 40.4 peratus,” kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sebelum ini diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.


Pengarang :