Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kerja selenggaraan di Loji Rawatan Air Selangor SSP1, Bukit Badong, Kuala Selangor pada 13 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Naik taraf aset kritikal selesai, pengguna dijangka terima bekalan mulai 3 pagi

KUALA SELANGOR, 13 OKT: Pengguna terjejas di Lembah Klang dijangka mula menerima bekalan air bersih secara berperingkat seawal jam 3 pagi nanti (Khamis) iaitu dua jam lebih awal.

Ia susulan kerja menaik taraf aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 di Bukit Badong di sini siap sepenuhnya pada jam 8.15 malam ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pelan awal Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangkakan bekalan air akan diagih bermula jam 5 pagi esok.

“Proses agihan air kebiasaannya akan mengambil masa antara lima hingga enam jam selepas kerja penyelenggaraan siap. Alhamdulillah, ia berjaya disiapkan awal dan membolehkan bekalan mula disalurkan kira-kira jam 3 pagi,” katanya selepas meninjau loji rawatan terbabit di sini malam ini.

Hari ini, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji terbabit setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com .

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com .


Pengarang :