Selangorkini
Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Mohamad menunjukkan Nasi Ambeng yang telah siap dalam Program `World Food Day 2021′ Makanan Tradisi Negeri Selangor di Kampung Sungai Lang Tengah, Banting pada 16 Oktober 2021. Turut kelihatan EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Borhan Aman Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Nasi ambeng diketengahkan sempena Hari Makanan Sedunia peringkat negeri

BANTING, 16 OKT: Sajian warisan masyarakat Melayu dari etnik Jawa nasi ambeng diketengahkan sempena Hari Makanan Sedunia 2021 peringkat Selangor hari ini.

Nasi ambeng dipilih berikutan makanan itu mempunyai keunikan tersendiri dari aspek ramuan masakan, rasa serta warna, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah menjelaskan makanan tersebut turut melambangkan perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan keluarga serta masyarakat di negeri ini.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri di bawah Padat (Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor) untuk mewartakannya (nasi ambeng) sebagai makanan tradisi rakyat Selangor khususnya masyarakat Jawa,” katanya.

Beliau ditemui pada program Visit MyKampung @ Homestay Kampung Sungai Lang Tengah di sini yang turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Mohamad sempena sambutan berkenaan hari ini.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata penyelidikan Padat mendapati penyediaan lauk utama, komponen dan rasa mempengaruhi identiti serta daerah dari mana nasi ambeng itu disediakan.

Menurutnya, nasi ambeng disajikan dalam dulang besar beralaskan daun pisang yang mengandungi nasi putih, mi goreng, ayam masak semur, serunding kelapa, ikan masin bulu ayam (gereh) dan sambal goreng.

“Adakalanya lauk utama digantikan dengan ayam masak ungkep. Kini terdapat versi ayam goreng dan ayam masak merah bergantung kepada kemampuan serta penyediaan tuan rumah bagi menghargai tetamu,” katanya.

Terdahulu, Borhan dan Masdiana mengadakan lawatan ke bengkel jahitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kampung terbabit sebelum menunjukkan demo masakan nasi ambeng bersama Cef Sue Arukin.

Program dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Selangor turut menampilkan persembahan tradisional keroncong serta silat.


Pengarang :