Dato’ Seri Amirudin Shari berucap semasa sesi Townhall Belanjawan Negeri Selangor 2022 di Hotel Wyndham, Klang pada 9 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri kutip hasil RM1.79 bilion, hampir capai sasaran

KLANG, 9 OKT: Selangor mencatatkan kutipan hasil RM1.79 bilion atau 81.48 peratus daripada sasaran RM2.2 bilion setakat 30 September, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan jumlah itu bukan kebiasaan bagi negeri sebaliknya kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun.

“Setakat ini sudah belanjakan RM819.57 juta atau 67.18 peratus untuk mengurus. PKP ada kesan kepada kutipan dan pengurusan yang tidak dapat berjalan sepenuhnya.

“Belanja pembangunan berjalan 47 peratus (RM523.45 juta), banyak projek tidak dapat dibayar tetapi biasanya akan selesai akhir tahun. Lebihan tunai dalam buku kira-kira pula RM449.15 juta,” katanya.

Beliau bercakap ketika pembentangan kedudukan kewangan negeri dalam sesi taklimat Belanjawan 2022 di Hotel Wyndham hari ini membabitkan pimpinan komuniti Selangor.

Sementara itu, Amirudin berkata pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

“Ia menjadi sebahagian pelan dan rancangan fiskal negeri mendepani masa depan. Belanjawan kali ini berdepan beberapa situasi yang pasti merujuk kepada keadaan pandemik,” katanya.


Pengarang :