Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Berhad Juan Aranols (dua, kiri) bergambar bersama Yang Dipertua MBSJ Noraini Roslan (tengah) pada majlis menandatangi MoU Program Kutipan & Kitar Semula Pintu ke Pintu ke Subang Jaya pada 7 Oktober 2021. Foto Nestle
AGENDANASIONAL

Nestle, MBSJ bekerjasama kutip bahan kitar semula di Subang Jaya

SHAH ALAM, 7 OKT: Nestle Malaysia Berhad (Nestle) menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi mengutip bahan kitar semula di daerah itu.

Nestle menerusi kenyataan berkata program Kutipan & Kitar Semula Pintu ke Pintu ke Subang Jaya bertujuan mengurangkan pengeluaran sisa isi rumah selain melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan di kawasan bandar.

Pengeluar produk makanan dan minuman terkemuka itu menjelaskan buat masa ini khidmat kutipan bahan kitar semula dijalankan di kaki lima di lapan taman perumahan di Petaling Jaya membabitkan lebih 20,000 isi rumah.

Tambahnya, fasa pertama program itu dilaksanakan di Zon 1 dan 4 di Subang Jaya yang memanfaatkan sekurang-kurangnya 5,500 isi rumah seterusnya ke Zon 3 dan 6 melibatkan 8,500 isi rumah menjelang akhir tahun ini.

Terdahulu, majlis MoU program dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Juan Aranols serta Yang Dipertua MBSJ yang juga Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan.

Aranols berkata program tersebut bukan sahaja memudahkan penduduk untuk mengitar semula, tetapi juga menyediakan platform yang sesuai untuk mendidik penduduk tentang langkah kitar semula yang berkesan.

“Kami ingin meningkatkan liputan ke kawasan kediaman yang lebih luas sejajar dengan wawasan kami untuk memastikan tiada pembungkusan, termasuk plastik, berakhir di tapak pelupusan sampah atau dibuang sebagai sampah sarap dan meningkatkan usaha mengurangkan penggunaan dan kebergantungan kepada plastik mentah,” katanya.


Pengarang :