Kenderaan pacuan empat roda disediakan wakil rakyat Taman Templer untuk mengagihkan air kepada penduduk memerlukan susulan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pada 13 Oktober 2021. Foto ihsan Mohd Sany Hamzan
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pacuan empat roda agih bekalan air penduduk Taman Templer

SHAH ALAM, 13 OKT: Wakil rakyat Taman Templer menyediakan dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa tangki air untuk diagihkan kepada penduduk memerlukan.

Inisiatif susulan naik taraf aset kritikal bekalan air hari ini digerakkan ke rumah dihuni warga emas dan pesakit kritikal, kata Mohd Sany Hamzan.

“Kita faham kesukaran mereka dan ambil inisiatif hantar bekalan. Mereka yang memerlukan bantuan boleh hubungi pusat khidmat masyarakat, ahli majlis dan ketua kampung masing-masing,“ katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk mengagihkan minuman kepada penduduk terjejas.

“Kita minta Air Selangor sedia dua lori air minuman yang diharapkan mampu menampung keperluan penduduk. Hebahan juga dibuat supaya penduduk simpan bekalan secukupnya,“ katanya.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) hari ini setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu
Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.


Pengarang :