AGENDANASIONAL

Paip pecah: Bantuan lori tangki air digerakkan ke premis kritikal

SHAH ALAM, 19 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan terlibat insiden paip pecah di Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang.

Syarikat itu menerusi Facebook memaklumkan keutamaan bantuan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Menurut Air Selangor, setakat jam 6 pagi tadi kerja pembaikan mencapai tahap 29 peratus dan dijangka siap 6 petang hari ini.

“Kerja-kerja pembaikan mengalami kesukaran disebabkan paip pecah terletak berhampiran sungai dan pengukuhan tebing perlu dilaksanakan terlebih dahulu di kawasan tersebut sebelum kerja membaiki paip pecah boleh dilakukan.

“Berikutan itu, air dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna pada jam 6.30 petang hari ini secara berperingkat ke 145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat setelah kerja-kerja siap dilaksanakan,”maklum syarikat itu lagi.

Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 petang esok. Tempoh masa pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Air Selangor memaklumkan insiden paip pecah dikesan berlaku berhampiran di Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang malam tadi.

Sehubungan itu syarikat berkenaan terpaksa menutup bekalan air pada 9 malam tadi bagi membolehkan kerja pembaikan paip berjalan lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa berkenaan insiden di semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram atau hubungi talian 15300.

Sebarang pertanyaan boleh diaju di laman sesawang http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

 


Pengarang :