Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja ketika Progam Vaksinasi Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pakar: Data cukup, ibu bapa tambah yakin benar anak divaksin

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Langkah kerajaan menunggu hasil kajian dan data secukupnya berkaitan keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak di bawah 12 tahun, sebelum memutuskan melaksanakan vaksinasi terhadap golongan itu adalah tindakan bijak, menurut pakar.

Pengasas Persatuan Malaysian Doctors Club (MDC) Dr Muhammad Hakim Nordin berkata tindakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak gopoh membuat keputusan berkenaan perkara itu juga, adalah praktikal.

“Tindakan (menunggu data) yang bijak…mereka (kanak-kanak) adalah golongan berisiko rendah… jadi kenapa kita perlu berikan kepada kanak-kanak kepada sesuatu (vaksinasi) yang kita masih tidak tahu keselamatan dan keberkesanan sepenuhnya lagi.

“… setahu saya, WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) belum lagi galakkan vaksinasi terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun ada syarikat vaksin telah mengesahkan keselamatan penggunaan produknya, namun ia bergantung kepada WHO untuk membuktikan bahawa vaksin-vaksin tersebut selamat digunakan kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Khairy sebelum ini memaklumkan Kementeriannya telah mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin Covid-19, yang sedang membuat persiapan untuk menghantar data berkaitan (keselamatan dan keberkesanan vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun) kepada semua badan kawal selia seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz Dr Adli Ali berkata beliau percaya kerajaan sedang menilai beberapa jenis vaksin untuk dipertimbangkan kepada golongan tersebut.

Katanya, data yang mencukupi akan menambah keyakinan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin.

“Saya percaya mereka (kerajaan) sedang lihat apa vaksin yang sesuai dan untuk vaksinasi kanak-kanak bawah 12 tahun ini, mereka dah mengambil kira beberapa data termasuk vaksin Sinovac yang telah mengeluarkan data yang mengatakan ia selamat digunakan kepada kanak-kanak berumur 6-12 tahun,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, syarikat vaksin Pfizer BioNTech telah mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin itu kini selamat digunakan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak bukan satu keputusan yang mudah.

Menurutnya, sekiranya ujian klinikal telah dilakukan dan disahkan selamat dan berkesan kepada kanak-kanak di luar negara, laporan ujian tersebut perlu dikaji oleh pakar di peringkat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :