Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre, Bangi pada 10 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pakar: Keputusan wajibkan penjawat awam ambil vaksin sah ikut syarak

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Keputusan kerajaan mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin Covid-19 berdasarkan pertimbangan tertentu, adalah sah dari sudut pandangan syariah dan perlu dipatuhi serta tidak boleh dianggap menyekat kebebasan individu di negara ini, kata seorang pakar syariah.

Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata berdasarkan Siasah Syar’iyah, apabila kerajaan telah mewajibkan penjawat awam divaksinasi maka kelompok yang enggan patuh boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan berkaitan kepentingan umum serta tidak bertentangan dengan syariat.

“Agama Islam melalui bidang Siasah Syar’iyah memberikan hak mutlak kepada pemerintah (kerajaan yang mentadbir) untuk mengeluarkan arahan tertentu dalam menguruskan keadaan darurat seperti penularan Covid-19.

“Tindakan tatatertib boleh dikategorikan sebagai hukuman ringan yang boleh dikenakan oleh kerajaan menurut Siasah Syar’iyah,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Syed Shahridzan berkata vaksinasi adalah demi kepentingan umum dan bukan individu serta memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa individu yang tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain lebih mudah dijangkiti Covid-19.

“Dalam kes ini, kita menggunakan kaedah fekah ‘al-masalahatu al-‘ammatu muqaddamatun ‘ala al-maslahati al-khaassati’ (kepentingan awam lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi).

“Kerajaan boleh mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas penjawat awam atas dasar maslahat (kepentingan). Berdasarkan kelebihan yang diperuntukkan oleh Siasah Syar’iyah kepada pemerintah (kerajaan), ia boleh mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas semua rakyat di negara ini,” katanya.

Menurut Syed Shahridzan, ini berpandukan kaedah fekah lain yang menyatakan, ‘tasarruful Imami ‘ala al-ra‘iyyati manutun bil maslahati’ (keputusan kerajaan untuk rakyat dilaksanakan demi kepentingan mereka).

Beliau berkata majoriti umat Islam di negara ini bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mewajibkan taat kepada arahan pemerintah dalam perkara berhubung kepentingan umum dan tidak bertentangan dengan syariah.

Pada 30 Sept, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19 dan mereka dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 Nov 2021.

Menurut JPA, hampir 98 peratus pegawai telah mengambil vaksin manakala kelompok yang masih belum mendaftar adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus melibatkan 16,902 orang.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

-BERNAMA


Pengarang :