Bank Negara Malaysia
NASIONAL

PAKATAN: Kecualikan bayar faedah moratorium B50 satu kemenangan untuk rakyat

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) mengalu-alukan persetujuan perdana menteri kepada tuntutan pengecualian bayaran faedah moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50).

Tuntutan tersebut terkandung di dalam Perkara 1.7 Memorandum Persefahaman (MOU) di antara HARAPAN dan kerajaan yang pada mulanya tidak dipersetujui oleh pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pelaksanaan Perkara 1.7 MOU ini merupakan satu kemenangan untuk rakyat,” kata majlis itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kenyataan itu berkata bagi memastikan tuntutan itu dapat dilaksana, pimpinan HARAPAN telah mengadakan siri pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan ketua-ketua pegawai eksekutif bank-bank komersial.

“Walaupun pada mulanya terdapat kebimbangan di pihak bank-bank, setelah siri libat urus ini berjalan dan pandangan pimpinan HARAPAN disampaikan dengan jelas, perdana menteri telah bersetuju dengan pendirian kami dan akhirnya dasar ini dapat dilaksana.

“Bagaimanapun kami kesal perdana menteri tidak mengiktiraf bahawa dasar ini adalah salah satu perkara yang terkandung di dalam MOU yang ditandatangani oleh beliau sendiri bersama pimpinan utama HARAPAN pada 13 September lalu,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu HARAPAN turut mempertikaikan apabila dasar pengecualian bayaran faedah itu digambarkan sebagai idea kerajaan.

Sedangkan ia adalah pendirian konsisten  pembangkang dalam semangat menunaikan perkara  yang terkandung di dalam MOU, katanya.

“Tanpa pengiktirafan peranan MOU ini, ia mampu menjejaskan keyakinan kami terhadap keikhlasan pihak kerajaan untuk berpegang kepada semangat MOU ini.

“Ia turut bercanggah dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang berasaskan fakta dan data agar segala perancangan dapat diusahakan bersama dengan perpaduan rakyat,” tegas kenyataan itu.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) iaitu program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif dan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.

Program berkenaan dilaksanakan sektor perbankan dalam masa terdekat yang turut merangkumi  peminjam dalam kategori isi rumah B40 iaitu mereka berpendapatan kasar kurang dari RM5,880 sebulan.

Kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah.


Pengarang :