Datuk Seri Ahmad Maslan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 29 September 2021 atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas membayar kompaun RM1.1 juta. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN mahu penjelasan Ahmad Maslan bebas tuduhan dana 1MDB

SHAH ALAM, 2 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa peguam negara menjelaskan pembebasan ahli parlimen penyokong kerajaan berkait tuduhan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Merujuk kes Datuk Seri Ahmad Maslan, majlis presiden gabungan itu mempersoal sama ada keputusan mendakwa atau menarik pendakwaan terletak pada tangan peguam negara.

“Peguam negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi tatacara operasi piawai (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis presiden juga kesal sikap tidak acuh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengiakan trend kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi mutakhir ini.

Mereka mempersoal sama ada suruhanjaya itu memberi penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan membayar balik wang sogokan yang dirampas membabitkan ahli politik penyokong kerajaan.

“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum, trend baharu peguam negara dan SPRM jelas melanggari prinsip keadilan yang bukan sahaja mesti dilakukan tetapi mesti disaksi.

“Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar suruhanjaya mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai,” kata majlis presiden.

Pada 29 September, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.


Pengarang :