Dato’ Teng Chang Khim menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran penerbangan mampu lonjak negeri jadi peneraju industri

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 11 OKT: Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 yang dijadual berlangsung pada November ini mampu melonjak negeri ke arah menjadi peneraju industri penerbangan dan aeroangkasa.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan pameran berkenaan juga diharap menarik pelabur dan operator industri penerbangan  untuk menjadikan kawasan sekitar Skypark Subang sebagai pangkalan operasi mereka.

“Kita mahu menaikkan status Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, menjadi hab perniagaan industri penerbangan dan aeroangkasa di Asean.

“Kita tahu di wilayah ini Singapura dan Hong Kong antara peneraju dalam industri penerbangan, kita juga tidak ketinggalan jauh malah masih ada ruang untuk tambah baik,” katanya dalam temu bual bersama Selangor Journal baru-baru ini.

Pameran julung kali itu bakal berlangsung pada 25 hingga 27 November di Skypark Subang dengan menyasarkan sebanyak 30 pempamer serta 5,000 pelawat.

Pada 18 Mei tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 62 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di Selangor dan jumlah tersebut dijangka meningkat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skop utama sektor aeroangkasa adalah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pembuatan; sistem integrasi; kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

Pemain besar industri antaranya Airbus Helicopters, Execujet Malaysia, Sapura Aero dan Weststar Aviation menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini sebagai pangkalan operasi mereka.


Pengarang :