Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Dato’ Teng Chang Kim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan) ketika melancarkan Selangor Aviation Show 2021 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Subang pada 22 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran penerbangan medan kukuhkan industri aeroangkasa negeri – MB

SUBANG, 22 OKT: Pameran Penerbangan Selangor 2021 (SAS2021) yang berlangsung November ini mampu memperkukuh negeri sebagai hab aeroangkasa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor berpeluang cerah dalam industri memandangkan 65 peratus sektor aeroangkasa negara bertempat di negeri ini dengan Subang antara lokasi penting.

Jelasnya ketika ini juga terdapat lebih 200 syarikat di Selangor terbabit dengan sektor berkenaan sekali gus bakal menjadi asas kekuatan industri.

“Ini bukan program spontan tetapi sebahagian perancangan dan kerangka blueprint serta pelan tindakan negeri. Sektor ini kita sudah mula pada 2014..2015.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media selepas melancarkan Selangor Aviation Show 2021 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Subang pada 22 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini (SAS2021) permulaan untuk pulihkan industri kesan daripada pandemik Covid-19 selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan pelancaran SAS2021 yang bakal dianjur pada 25 hingga 27 November depan di SkyPark Regional Aviation Centre (RAC) di sini.

Amirudin berkata program julung kali itu diyakini mampu menarik penyertaan tinggi kalangan pemain industri.

“Satu daripada penaja merupakan syarikat dron terkenal Aerodyne Group yang terus berkembang hebat ketika sebelum dan selepas pandemik.

“Ini tunjukkan adanya perkembangan baharu khususnya dron, dengan sektor ini Selangor melengkapi hampir keseluruhan ekosistem ekonomi yang menyokong satu sama lain,” katanya.

Pada Mei 2020, Amirudin berkata 62 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di Selangor dan jumlah tersebut dijangka meningkat.

Pemain besar industri antaranya Airbus Helicopters, Execujet Malaysia, Sapura Aero dan Weststar Aviation menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini sebagai pangkalan operasi mereka.


Pengarang :