Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari bergambar bersama penaja selepas melancarkan Pameran Penerbangan Selangor 2021 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Subang pada 22 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran penerbangan negeri mulai 25 November, sasar 5,000 pengunjung

SUBANG, 23 OKT: Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 bakal berlangsung di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark dekat sini pada 25 hingga 27 November depan.

EXCO Pelaburan berkata program julung kali itu dibuka berperingkat dengan dua hari pertama untuk pemain industri manakala hari terakhir bagi kunjungan orang awam terutama pelajar yang membina kerjaya dalam aeroangkasa.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim pameran bertemakan ‘Selangor, the ASEAN Business & General Aviation Hub’ menampilkan  43 pempamer serta menyasarkan 5,000 pengunjung.

“Idea penganjuran program ini pada 2019 sebelum penularan Covid-19 dengan menyasarkan pembabitan peringkat antarabangsa dan serantau.

“Namun sebabkan pandemik ini terutama aspek sekatan perjalanan, pameran terpaksa dilakukan dalam skala kecil melibatkan pemain tempatan demi membantu industri berkembang,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis pelancaran SAS 2021 semalam, yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Chang Khim berkata susulan pandemik SAS2021 akan berjalan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat terutama dari segi penjarakan fizikal.

Pada 18 Mei tahun lalu, Amirudin berkata sebanyak 62 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di Selangor dan jumlah tersebut dijangka meningkat.

Jelasnya skop utama sektor aeroangkasa adalah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pembuatan; sistem integrasi; kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

Pemain besar industri antaranya Airbus Helicopters, Execujet Malaysia, Sapura Aero dan Weststar Aviation menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini sebagai pangkalan operasi mereka.

 


Pengarang :