Notis kawasan pantai ditutup dari 8 hingga 10 Oktober berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat ketika tinjauan pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pantai di Kuala Langat kekal tutup meski air pasang besar makin reda

SHAH ALAM, 10 OKT: Kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam di Kuala Langat masih ditutup hari ini meskipun limpahan susulan fenomena air pasang besar semakin surut.

Langkah itu bagi memastikan keselamatan orang ramai terpelihara selain mengelak kejadian tidak diingini, kata ketua Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

“Keadaan hari ini terkawal dengan air mulai surut dan akan kembali seperti biasa, namun aktiviti pantai masih ditutup dengan pemantauan terus dibuat bersama polis,” kata Mazlan Abdul Manap.

Beliau turut memuji kerjasama orang ramai yang tidak mengunjungi kawasan tersebut setelah dimaklumkan mengenai risiko air pasang besar.

“Sebelum ini ramai yang datang kerana mereka tidak tahu ditutup, namun masing-masing memberi kerjasama dengan bersurai,” katanya menjangka pantai di daerah itu dibuka semula esok.

Sementara itu, Mazlan berkata bacaan air pasang setinggi 5.6 meter direkod dalam tempoh empat hari manakala bacaan tertinggi hari ini 5.4 meter.

Sebelum ini, MPKL menasihatkan penduduk di kawasan pesisir pantai berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar yang berlaku mulai 7 hingga 10 Oktober.

Antara kawasan terlibat ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.


Pengarang :