Bangunan Parlimen Malaysia kelihatan tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Parlimen lulus tambahan RM45 bilion had belanja Kumpulan Wang Covid-19

SHAH ALAM, 11 OKT: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) diluluskan untuk menambah perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM45 bilion.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diluluskan dengan suara terbanyak ahli Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga hari ini.

Dalam penggulungannya, Tengku Zafrul berkata tambahan kepada RM110 bilion bagi meneruskan usaha menjaga kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan untuk merancakkan semula ekonomi.

Anggaran perbelanjaan tambahan merangkumi RM12.7 bilion Program Subsidi Upah, RM15.8 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional dan projek berskala kecil bagi kontraktor G1 hingga G4 (RM2 bilion).

Selain itu, Geran Prihatin PKNS (RM3.6 bilion), peningkatan had amaun pinjaman mikro kredit (RM1 bilion) dan sokongan bantuan sosial untuk golongan mudah terjejas (RM5.9 bilion).

Tambahan termasuk dana RM4 bilion berkaitan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain meningkatkan had siling perbelanjaan, pindaan RUU itu juga bagi menaikkan had statutori hutang semasa daripada 60 kepada 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Terdahulu, 30 wakil rakyat mengambil bahagian membahaskan pindaan tersebut.


Pengarang :