Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengedarkan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam pada 18 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelitup muka, cecair pembasmi kuman untuk pelajar kekal patuh SOP

SHAH ALAM, 18 OKT: Dato’ Menteri Besar mengedarkan 100 pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata serahan itu bagi memberi semangat kepada pelajar tingkatan lima yang memulakan sesi sekolah.

“Seperti kita sedia maklum hari ini permulaan sekolah bagi pelajar tingkatan lima dan mereka antara yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama sahaja lagi.

“Saya harap dengan serahan ini sedikit sebanyak membantu pelajar dan guru di sekolah ini…Semoga terus mematuhi SOP meskipun kita telah beralih kepada fasa empat PPN (Pelan Pemulihan Negara),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui ketika membuat tinjauan pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Mohamad Isa Ishak turut berterima kasih dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar ke sekolah itu.

“Terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin kerana hadir dan menyerahkan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada pelajar,” katanya.

Terdapat lebih 2,000 pelajar SMK Seksyen 7 yang mana dua sesi pagi bagi tingkatan satu dan dua manakala sesi petang tingkatan tiga hingga lima.


Pengarang :