Selangorkini
Terjemahan buku judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE)
AGENDA NASIONAL RENCANA

Penceritaan hidup, riwayat Rasulullah sentuh emosi

Oleh Faridzwan Abdul Ghafar dan Nazli Ibrahim

 

Buku Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources masyhur sejak pertama kali diterbitkan pada 1983.

Dianggap biografi terbaik Rasulullah SAW, buku yang banyak diterjemah ke pelbagai bahasa antaranya Perancis, Itali, Sepanyol, Turki dan Belanda menampilkan gaya penulisan mudah tetapi disulami bahasa indah.

Karya Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin itu turut meraih pengiktirafan peringkat antarabangsa antaranya anugerah Persidangan Sirah Kebangsaan Pakistan dan anugerah daripada Presiden Mesir Hosni Mubarak.

Martin Lings menulis berdasarkan sumber tulisan awal daripada empat ilmuan Islam iaitu Ibnu Ishaq, Ibnu Hisham, Ibnu Sa’ad dan Al Waqiqi. Sumber itu, sebahagiannya berusia sehingga 1,200 tahun, dikutip hasil catatan empat ilmuan tersebut sama ada sumber lisan dan catatan kecil sahabat Nabi Muhammad SAW.

Martin Lings juga menulis 18 buku sepanjang hayat beliau antaranya The Book of Certainty: The Sufi Doctrine of Faith, Wisdom and Gnosis, The Quranic Art of Calligraphy and Illumination dan What is Sufism? Namun, beliau sendiri menyifatkan penulisan biografi Rasullulah SAW sebagai kemuncak kariernya selaku penulis.

Sekalipun segelintir ulama berfahaman Salafi cuba mempertikai tulisan itu, buku berkenaan terus menerima sambutan umat Islam. Bahkan, buku itu mendapat perhatian ulama dari Universiti al-Azhar.

Terjemahan buku dengan judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dijayakan Ketua Pengarang Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi. Mereka mula menterjemah pada 2018 sebelum siap dua tahun kemudian.

Buku asal mengandungi 362 muka surat manakala terjemahan bahasa Melayu setebal 496 halaman meliputi 85 bab. Dicetak kulit keras, rekaannya berkonsep minimalis, sesuai cita rasa peminat buku masa kini.

Lebih 9,000 naskhah terjual setakat ini melalui dua cetakan sejak berada dalam pasaran pada tahun lepas. IBDE kini dalam perancangan untuk menghasil-kan cetakan ketiga berikutan permintaan berterusan pelbagai lapisan umat Islam di negara ini.

IBDE menerusi projek Siri Pencerahan Selangor sejak empat tahun lalu giat menterjemah pelbagai buku antaranya tulisan Imam al-Ghazali berjudul Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik dan Penyelamat Daripada Kesesatan. Buku berkaitan tokoh tersohor dunia juga diterjemah.

Pemerhatian mendapati rata-rata pembaca berminat dengan biografi baginda itu yang ditulis bersahaja, romantis hingga membuaikan emosi pembaca dalam menghayati perjuangan Rasulullah SAW dalam mentauhidkan Allah SWT.

Buku tersebut turut menggamit perhatian penyanyi hip hop Altimet yang menyifatkannya pengisahan riwayat baginda membawa pembaca seolah-olah berada pada zaman tersebut.

“Belajar di sekolah mungkin agak kering tetapi cara penceritaan melalui terjemahan seolah-olah kita nampak individu atau watak seseorang serta keadaan persekitaran termasuk cara berinteraksi,” katanya.

Bahagian awal buku itu menelusuri zaman pra-Islam. Kisah jerit perih membina Kaabah oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS turut diungkap diikuti kronologi penguasa Makkah sehingga kelahiran Rasulullah SAW.

Kejahilan penguasa Makkah dan masyarakat Arab pada zaman pra-Islam yang mencemarkan Kaabah dengan membawa berhala dari segenap pelusuk Arab turut dipapar.

Seterusnya, pembaca dibawa mendalami detik-detik awal keluarga Nabi Muhammad SAW iaitu Bani Hashim seterusnya kelahiran dan perjalanan kehidupan awal baginda.

Ini termasuk zaman kanak-kanak, remaja hingga dewasa dan berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid. Setiap fasa hidup Rasulullah SAW disampaikan dengan begitu teliti bersama rencah emosi.

Setiap bait yang memperihal baginda Rasulullah SAW membawa penghayatan pembaca terhadap susur perjuangan baginda termasuk kepentingan seruan menyembah Yang Esa sama seperti nabi dan rasul terdahulu.

Selain kelebihan gaya penyampaiannya yang hidup, buku ini disertakan pelbagai nota kaki, salasilah marga (bani) secara terperinci selain beberapa fakta baharu.

Selain sisi peribadi baginda seperti hubungannya dengan isteri-isteri, anak-anak dan sahabat, biografi ini turut menyentuh aspek sosial, ekonomi, dan politik pada zaman awal Islam.


Pengarang :