Selangorkini
Luezita Ahmad, 48 memeriksa dan menyusun bekas air di kedainya yang mendapat permintaan tinggi berikutan kerja selenggara loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 minggu depan ketika tinjauan SelangorKini di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Penduduk lega notis awal selenggara loji, mula beli tong air

SHAH ALAM, 8 OKT: Pemberitahuan awal kerja penyelenggaraan aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 memudahkan penduduk membuat persediaan menyimpan bekalan air.

Suri rumah Noor Fazmira Zulkifli, 29, berkata kerja naik taraf yang tertangguh sejak dua tahun lalu ekoran pencemaran air wajar dibuat segera bagi mengelakkan masalah lebih buruk.

Noor Fazmira Zulkifli

Turut membeli tong tambahan bagi menyimpan bekalan, beliau yang menetap di Bandar Baru Selayang berharap isu air berkurangan selepas kerja baik pulih selesai.

“Ia (penyelenggaraan) bagus dan satu langkah positif kerana akan memudahkan kita semua. Siapa tahu kalau tidak dijalankan sekarang, mungkin jadi lebih teruk pada masa depan.

“Jadi, saya minta penduduk bersabar sementara menunggu kerja baik pulih siap selain simpan air secukupnya untuk diri sendiri serta keluarga,” katanya.

Penduduk Seksyen 19 di sini, Muhammad Mustaqim Mohamad Mansor, 25, juga berharap kerja naik taraf loji tersebut dapat mengelak masalah penyaluran air pada masa depan.

Muhammad Mustaqim Mohamad Mansor

“Ada alasan munasabah. Saya percaya mereka kena jalankan tanggungjawab (selenggara aset). Kalau tidak perkara ini (isu bekalan) boleh berterusan,” katanya.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Sebanyak 105 lori tangki turut digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna.

Bekalan air mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com


Pengarang :