Pemilik kedai barangan plastik Luezita Ahmad menyusun bekas air di kedainya yang mendapat permintaan tinggi di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk mula beli bekas simpanan air, harga kekal

SHAH ALAM, 10 OKT: Tiada kenaikan harga tong air secara mendadak dikesan menjelang beberapa hari sebelum penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 bermula pada 13 Oktober.

Tinjauan ke sebuah kedai menjual barangan plastik dan logam di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini mendapati harga tong air mengikut saiz kekal.

Jenis tong air yang tersedia antaranya tempayan, tong hitam dan tong biru berharga antara RM30 hingga RM140.

Pemilik kedai Luezita Ahmad, 48, berkata penduduk setempat mula mengunjungi kedainya empat hari lalu untuk mendapatkan tong tersebut sebagai persediaan menyimpan bekalan air.

Ibu tiga anak juga memberi jaminan stok bahan tersebut mencukupi, malah beliau sentiasa berhubung dengan pembekal sekiranya kehabisan.

“Penduduk tidak perlu bimbang kerana barang sentiasa ada, paling penting harga kekal. Cuma semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, harga naik satu peratus.

“Saya memang menjangka pelanggan datang tetapi mereka mungkin tidak membuat pembelian panik kerana kebanyakannya ada tong di rumah. Kalau beli pun sebagai tambahan,” katanya.

Luezita yang mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 20 tahun turut menasihati penduduk supaya tidak melakukan pembaziran air sepanjang tempoh berkenaan.

“Kalau beli tong air, pastikan boleh bertahan hingga bekalan pulih dan jangan membazir (air),” katanya.

Orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya mulai 13 Oktober.

Bekalan air 998 kawasan mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang pada 14 Oktober dan dijadual pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis serta tekanan pada sistem agihan.

Orang ramai juga boleh menyemak perincian mengenai penyaluran bekalan air kawasan masing-masing menerusi laman web hentitugas.airselangor.com

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 18 pili awam dan 105 lori tangki disediakan ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.


Pengarang :