Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa ketika Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada 28 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengguna ada alternatif bayar bil Astro tanpa caj perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Bermula 1 Sept lepas Pos Malaysia Bhd mengenakan caj 50 sen bagi pengguna yang membuat pembayaran bil Astro di kaunter mereka, dan ia merupakan persetujuan secara komersial (commercial arrangement) antara dua syarikat berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pengguna perkhidmatan penyiaran Astro mempunyai pilihan untuk membayar bil tanpa dikenakan caj perkhidmatan, antaranya menerusi kaedah auto debit yang memerlukan pelanggan mendaftar di portal layan diri atau di pusat perkhidmatan pelanggan Astro.

Beliau berkata selain itu alternatif pembayaran bil termasuk Astro Quick Pay, saluran Astro 200, aplikasi My Astro serta platform JomPAY.

“Sejak Januari tahun ini, caj perkhidmatan 50 sen untuk Astro telah dilaksanakan oleh ejen-ejen pembayaran bil, cuma Pos Malaysia Berhad sahaja yang baharu mengenakan caj sama bagi bayaran bil Astro di kaunter bermula 1 Sept 2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu mengapa caj 50 sen dikenakan sebagai caj kepada pelanggan apabila membayar bil Astro sekiranya dibayar secara manual di pejabat pos.

Beliau berkata Pos Malaysia yang telah dikorporatkan pada 1992 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2001 kini adalah anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM Berhad.

Katanya selain menyediakan perkhidmatan pos asas, Pos Malaysia telah mengembangkan aktiviti perniagaannya dan kini merupakan sebuah syarikat perkhidmatan logistik dan e-Dagang bersepadu yang terulung di Malaysia.

– BERNAMA

 


Pengarang :