Selangorkini
Penghulu-penghulu dari Mukim di dalam daerah Petaling gembira setelah menerima komputer tablet yang disampaikan Dato’ Meteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Majlis Penyampaian Komputer Tablet Kepada Penghulu Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 20 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penghulu mukim bersyukur terima tablet, bantu selesai isu rakyat

SHAH ALAM, 20 OKT: Pemberian tablet kepada penghulu mukim hadiah bagi melancarkan urusan harian dalam menangani masalah masyarakat terutama ketika penularan Covid-19.

Pengerusi Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) cawangan Selangor Jumasri Jumin berkata sepanjang pandemik banyak mesyuarat dan kursus dijalankan dalam talian sekali gus amat memerlukan kemudahan teknologi itu.

Pengerusi Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Selangor, Jumasri Jumin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita telah menanti tablet ini sekian lama dan memohon sejak dahulu lagi dan alhamdulillah akhirnya kami semua mendapatnya kerana ia merupakan keperluan mendesak dalam norma baharu.

“Balai penghulu adalah tempat rakyat mengadu untuk menyelesaikan masalah. Dengan hadiah ini secara langsung dapat melancarkan kerja dan menyampaikan keluh kesah masyarakat kerana setiap hari bertemu mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Penghulu Mukim Api-Api/Ijok Kuala Selangor Husain Idris berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana memberikan kemudahan tablet.

Penghulu Mukim Api-Api Ijok Kuala Selangor, Husain Idris. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tablet ini selain memudahkan urusan bukan sahaja sebagai penghulu tetapi pegawai yang menyiasat sekiranya berlaku bencana atau program-program di bawah Kerajaan Negeri.

“Penghulu juga kini tidak perlu lagi menggunakan telefon peribadi dan risau kehabisan data serta simpanan,” katanya.

Seramai 57 penghulu mukim di Selangor menerima tablet dan kad sim percuma sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu majlis di Foyer Bangunan SUK hari ini.


Pengarang :