Pemilik pusat cucian kenderaan, Ahmad Humini Alias, 42, memenuhkan air kolah sebagai persediaan kerja penyelenggaraan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan SelangorKini di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengusaha pusat cuci kereta simpan bekalan air, operasi seperti biasa

SHAH ALAM, 9 OKT: Seorang pengusaha pusat cucian kenderaan di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini, menyimpan air dalam kolah susulan penyelenggaraan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1.

Ahmad Humini Alias, 42, menyimpan air dalam kolah seluas 9×4 kaki sejak dua hari lalu selepas dimaklumkan rakannya bahawa aset loji akan dinaik taraf pada minggu depan.

Ahmad Humini Alias, 42.

Turut menyediakan sebiji tong besar untuk menyimpan bekalan tambahan, bapa empat anak yang tinggal di Seksyen 25 berkata langkah itu bagi memastikan perniagaan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.

“Mujurlah kolah memang tersedia dari awal sejak saya mula mengambil alih tempat ini kira-kira setahun lalu. Alhamdulillah, lagipun dapat jimatkan kos sebab hanya pakai air hujan tanpa perlu guna air paip.

“Saya berharap air dalam kolah ini dapat bertahan sehingga kerja selenggara selesai memandangkan pusat cuci kereta memerlukan air untuk beroperasi, kalau tiada (air) memang masalah kepada saya dan pengusaha lain,” katanya.

Pekerja pusat cucian kenderaan air membersihkan kereta di Jalan Kebun, Shah Alam ketika tinjauan SelangorKini pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dia yang turut mengusahakan perniagaan air kisar di kawasan berhampiran menganggap penyelenggaran dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) penting untuk keselesaan jangka panjang.

“Walaupun pada awalnya agak panik, tetapi saya percaya kerja baik pulih ini penting, mungkin tiada lagi gangguan sebab sudah menggantikan peralatan baru,” katanya.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Sebanyak 105 lori tangki turut digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna.

Bekalan air mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

 

 


Pengarang :