Selangorkini
Pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka, menjaga jarak dan telah melengkapkan dua dos vaksin ketika tinjauan pusat siber di Redsea Esport Center, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Pengusaha pusat siber lega boleh kembali beroperasi

WANGSA MAJU, 18 OKT: Kebenaran pembukaan semula perkhidmatan pusat siber melegakan pengusaha selepas hampir empat bulan menutup operasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Selangorkini di pusat siber sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakannya telah mula beroperasi semalam selaras kelonggaran diberikan dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengusaha Redsea e-Sports Center Muhammad Aqmal Zainal Abidin, 27, berkata pengumuman itu disambut baik dan pelanggan kini berpeluang berkunjung ke pusat siber untuk berhibur dan menikmati permainan video.

Pengusaha pusat siber Redsea e-Sports Center Muhammad Aqmal Zainal Abidin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebaik dibuka hari ini (semalam), ramai pelanggan datang khususnya remaja. Kita amat memahami keinginan mereka yang mahukan hiburan.

“Pekerja juga gembira kerana boleh mencari rezeki walaupun majikan memberi elaun bulanan kepada mereka sepanjang tempoh penutupan,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan, Muhammad Aqmal berkata pihaknya menekankan tatacara operasi piawai (SOP) dengan membenarkan pelanggan lengkap dos vaksin selain menyukat suhu badan dan mengimbas kod bar MySejahtera.

Menurutnya, kapasiti pengunjung di pusat siber terbabit pula dihadkan 50 peratus meskipun operasi dibenarkan 100 peratus.

“Kita mampu menampung 112 pelanggan pada satu-satu masa, namun buat ini hanya 56 sahaja dibenarkan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 selain semua peralatan di sini disanitasi,” katanya yang mengusahakan tiga lagi cawangan masing-masing di Danau Kota, Prima Setapak dan Taman Bunga Raya.

Muhammad Ashraf Md Aris. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, pelanggan Muhammad Ashraf Md Aris, 32, teruja kerana dapat merasai semula suasana bermain permainan video di pusat siber bersama kawan-kawan selepas tiga bulan tidak berbuat demikian.

“Sebelum ini, hampir setiap hari saya mengunjunginya selepas selesai bekerja sebagai penghantar makanan. Apabila ia dibuka semula semalam, saya terus datang untuk lepas ‘gian’. Gembira kerana dapat hilangkan rasa bosan.

“Kalau main (permainan video) di rumah kurang seronok dan suasana pun tidak semeriah di sini,” kata pengemar permainan Dota dan PUBG dari Rawang itu.

Berkuat kuasa semalam, pusat siber dibenarkan beroperasi dengan 80 peratus kapasiti bagi fasa tiga dan 100 peratus kapasiti fasa empat PPN.


Pengarang :