Pemilik pusat cucian kereta Lim Tee Wey menadah air sebagai persediaan susulan kerja penyenggaraan aset kritikal loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan di Pekan Banting pada 13 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga beroperasi seperti biasa, simpan bekalan air sejak awal

KUALA LANGAT, 14 OKT : Premis di sekitar Pekan Banting di sini masih meneruskan operasi perniagaan seperti biasa meskipun kerja penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan semalam.

Mohd Annas Firdaus Borhanudin

Seorang peniaga kedai makan, Mohd Annas Firdaus Borhanudin, 37, berkata sebaik tahu kerja naik taraf loji dilakukan untuk beberapa tempoh, dia dan pekerja siap sedia menyimpan enam tong air.

“Alhamdulillah setakat ini air di kedai makan masih ada dan perniagaan berjalan seperti biasa. Jika tiada air pun tidak bimbang sangat kerana enam tong air disediakan sejak awal lagi,” katanya.

Beliau ketika ditemui di kedai makannya di Selera Tujuh, Pekan Banting berharap kerja baik pulih aset loji dapat disiapkan lebih awal dan tiada kes bekalan air terputus lagi selepas ini.

Manakala, pemilik kedai cucian kereta Lim Tee Wey berkata dia menyediakan 30 tong air bersaiz sederhana selepas dimaklum mengenai penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1.

Lim Tee Wey

“Persediaan (menadah air) perlu walaupun setakat ini air masih ada…kami tidak bercadang untuk menutup kedai jika ketiadaan air kerana cukuplah ditutup lama akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerak),” katanya.

Pemilik kedai dobi Lim Yoon berkata kedainya dibuka seperti biasa meskipun tiada air untuk mencuci baju.

“Setakat ini kita sudah maklumkan kepada pelanggan yang datang hantar pakaian untuk dicuci supaya mereka ambil lewat sikit selepas adanya air dan mereka bersetuju sahaja,” katanya.

Lim Yoon

Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 siap dilaksanakan jam 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, setakat jam 6 pagi sistem rawatan air loji telah distabilkan dan disalurkan kepada pengguna secara berperingkat mulai jam 5 petang ini.

Bermula semalam hingga Sabtu, kerja penyenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com


Pengarang :