Barakathullah Seenimohd Abdullah, 44, membuat persediaan awal mengisi air di dalam tong berikutan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan di Seksyen 10 , Shah Alam pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Peniaga makanan tetap teruskan operasi dalam tempoh selenggara aset loji

SHAH ALAM, 9 OKT: Peniaga makanan meneruskan operasi seperti biasa sepanjang tempoh penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 minggu depan.

Menyambut baik kerja naik taraf itu, pengusaha Restoran Mirasaa Seksyen 9 di sini menyimpan bekalan air dalam empat tong besar bagi memastikan perniagaan berjalan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

Sebagai alternatif, Barakathullah Seenimohd Abdullah, 44, juga menyediakan pinggan dan cawan kertas termasuk sudu serta garfu plastik bagi mengurangkan penggunaan air.

Barakathullah Seenimohd Abdullah, 44

“Cuma kita dapat rasa sedikit penat nanti kerana terpaksa berulang-alik untuk cari air tambahan di tempat lain jika bekalan sedia ada habis, tetapi berharap ia mencukupi.

“Kita juga mungkin memendekkan waktu operasi sekiranya gagal mendapat bekalan tambahan kerana air tetap diperlukan untuk membersihkan peralatan kedai dan tandas,” katanya.

Peniaga pisang goreng dan nasi lemak Norazman Mohd Nor, 47, akan menyimpan air dalam empat tong besar khusus untuk kegunaan berniaga, selain berharap bekalan tambahan darida lori tangki.

“Dua hari sebelum kerja selenggara bermula saya akan mula simpan air yang digunakan untuk mencuci bekas dan kuali termasuk membancuh tepung serta memasak nasi.

“Bagaimanapun, jika tempoh penyelenggaraan berlarutan lebih lama mungkin saya terpaksa tutup kedai sementara,” katanya yang sudah lima tahun mengusahakan perniagaan itu di Seksyen 19 di sini.

Bagi peniaga Takoyaki Abdul Sattar Mohd Ramli, 30, yang mengetahui maklumat itu melalui kumpulan WhatsApp berkata bekalan air sudah disimpan dalam tiga tong besar tiga hari lalu.

Abdul Sattar Mohd Ramli, 30

Walaupun sekadar melaksanakan perkhidmatan tunai semasa penghantaran, namun anak kedua daripada empat beradik berkata air tetap diperlukan untuk menyediakan snek Jepun dari rumah.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 18 pili awam dan 105 lori tangki disediakan ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.


Pengarang :