Roslinda Rasid, 44, melekatkan notis vaksinasi di kedainya ketika tinjauan Selangorkini di medan selera Seksyen 2, Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Kerajaan masih mengekalkan peraturan individu yang ingin makan di kedai atau restoran mesti lengkap dua dos vaksin bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga pantau ketat SOP, hanya lengkap vaksin boleh makan di kedai

SHAH ALAM, 2 OKT: Peniaga di bandar raya ini tetap mengehadkan kebenaran makan di kedai kepada pelanggan lengkap vaksin meski Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Ini kerana beberapa pemilik restoran dan gerai kurang jelas tatacara operasi piawai (SOP) fasa itu yang dikatakan membenarkan individu belum lengkap suntikan makan dalam premis.

Kekeliruan itu turut diakui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang kemudian mengekalkan peraturan makan di kedai hanya untuk individu lengkap dua dos bagi semua fasa PPN.

Pemilik Restoran Hatinie di Seksyen 10 Amir Sharifudin Mohd berkata pihaknya tetap memeriksa sijil digital vaksin walaupun difahamkan ada kelonggaran kepada mereka yang belum lengkap vaksin.

Pemilik Restoran Hatinie, Amir Sharifudin Mohd (kanan) melihat sijil digital vaksinasi pelanggan yang lengkap dua dos sebelum dibenarkan memasuki restoran miliknya di Seksyen 10, Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ada rakan peniaga di Negeri Sembilan memberitahu ketika dalam fasa tiga mereka diminta hanya membenarkan pelanggan lengkap vaksin makan di kedai.

“Kami hanya benarkan penerima lengkap dua dos vaksin sahaja, kami bimbang kalau tidak saring pihak berkuasa ambil tindakan pula,” katanya ketika ditemui.

Pengurus Restoran Hakim di Seksyen 7 Roslan Hakimsa berkata majoriti pelanggannya memahami prosedur pemeriksaan vaksin sebelum dibenarkan makan di kedai bagi mengawal penularan Covid-19.

“Walaupun sudah ada kelonggaran dalam fasa tiga namun kami tetap ambil langkah berjaga-jaga sehingga kes benar-benar dapat dikawal,” jelasnya.

Bagi peniaga makanan di medan selera Seksyen 2 Roslinda Rasid, beliau masih mengekalkan SOP lama yang mengehadkan hanya penerima vaksin lengkap boleh makan di kedai sebagai langkah keselamatan.

“Selagi semua atau hampir semua penduduk tidak lengkap vaksin maksudnya keadaan belum selamat dan boleh menyebabkan penularan,” katanya.


Pengarang :