Sebahagian Tarantula yang disimpan dalam sebuah premis di Seremban, Negeri Sembilan. Foto Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia
AGENDANASIONAL

Perhilitan rampas 12 ekor tarantula pelbagai spesies

SEREMBAN, 23 OKT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan merampas 12 ekor pelbagai spesies tarantula (kumpulan labah-labah yang besar dan berbulu) hasil pemeriksaan penguatkuasaan ke atas sebuah premis di sini, pada 6 Okt lepas.

Pengarahnya, Nurul Ermi Ramli berkata hidupan liar berkenaan disimpan si pemiliknya tanpa sebarang dokumen penyimpanan sah yang dikeluarkan pihak Perhilitan Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, laporan polis kemudian dibuat petugas agensi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2.

“Kesemua barang rampasan itu dibawa ke pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara sehingga maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

– BERNAMA

 

Anggota penguat kuasa Perhilitan membuat pemeriksaan di sebuah premis terletak sekitar daerah Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Oktober 2021. Foto Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia

Pengarang :