EXCO Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim (tengah),meninjau tanaman nenas kebun komuniti ketika Program Penyerahan Bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 kepada kebun komuniti di Taman Seri Setia, Tanjong Karang pada 18 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Permohonan pencarian ikon Agro Selangor dibuka hari ini

TANJONG KARANG, 19 OKT: Permohonan pencarian ikon Agro Selangor dibuka bermula hari ini hingga 24 Oktober, kata EXCO pemodenan dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata peserta memenuhi kriteria akan dipilih dalam saringan awal untuk menjalani proses penilaian sebelum ikon tersebut diumumkan pada 15 November .

Pemilihan ikon edisi kedua itu terbahagi kepada lima kategori iaitu tanaman, penternakan, akuakultur, industri asas tani dan agro pelancongan.

“Peserta perlu mengisi borang pencalonan lengkap di Google Form dan memberikan butiran mengapa pencalonan itu wajar dipertimbangkan. Permohonan daripada pihak ketiga juga dibenarkan.

“Urusetia akan membuat rakaman video bagi setiap peserta terpilih dan dipaparkan di Facebook, Youtube serta Instagram Agro Selangor. 50 peratus undian melalui saluran rasmi Facebook manakala selebihnya jawatankuasa pertanian Selangor,” katanya.

Ir Izham berkata demikian pada program penyerahan bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 kepada kebun komuniti di Dewan Terbuka Taman Sri Setia di sini semalam.

Jelas beliau, setiap ikon akan menerima bantuan kelengkapan pertanian dan wang tunai berjumlah RM10,000 termasuk sijil.

“Ikon terpilih akan menjadi duta kecil untuk sektor pertanian Selangor selain membimbing agropreneur yang baharu berkecimpung dalam pertanian.

“Mereka juga akan dipantau dan diaudit jawatankuasa pertanian Selangor selama dua tahun,” katanya.


Pengarang :